Artikel
Dzawul Arham berhak mendapat Harta Warisan. | 2008-12-11 16:13:09

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله الذي له ميراث السماوات والأرض, والصلاة والسلام على رسول الله وسائر الرسل الذين اجتهدوا في المواريث وتناظروا بجرأة وصدق وإخلاص, وبعد,

 

وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

 

Maksudnya: dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).[1]

 

Terdapat 8 isu yang selalu menjadi perdebatan di kalangan Ulama di dalam perbincangan Faraid;

 

1.      Rod kepada ashab furud.

2.      Masalah Musytarakah – saudara lelaki seibu sebapa dengan saudara lelaki seibu.

3.      Dzawul arham adakah berhak mewarisi atau tidak.

4.      Teknik dan cara perwarisan dzawul arham jika mereka berhak mewarisi.

5.      Kaedah perwarisan datuk bersama saudara-saudara lelaki.

6.      Maksud kepada al-Kalalah.

7.      Kedudukan ahli waris yang mesti didahulukan dan susunan kedudukan asobah binnafsi.

8.      Kaedah masalah Hajb.

 

Ini merupakan 8 masalah yang menjadikan perbahasan kitab-kitab faraid panjang lebar. Kertas kerja kerdil ini disediakan hanya sekadar membahaskan masalah yang ketiga sahaja. 

 

Kepentingan tajuk ini dibahaskan:

 

1.      Membuat perbandingan kewajaran pelaksanaan undang-undang perwarisan Malaysia yang tidak membenarkan dzawul arham mewarisi.

2.      Melihat dan menilai pendapat ulama berhubung persoalan ini.

3.      Mengkaji dan menganalisis pendapat yang paling sesuai dilaksanakan di Malaysia demi kemaslahatan Umat Islam.

4.      Memberikan hak yang selayaknya kepada ahli waris dan mengelakkan diri dari termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil dengan menggunakan hakim.

 

Kertas kerja kerdil dan serba kekurangan ini disediakan untuk dihadiahkan kepada Tuan Hakim Syeikh Kamaruslan bin Mustapha – Hakim Mahkamah Syariah -. Disiapkan atas permintaan beliau agar segala apa yang terkandung boleh dikongsi oleh mereka yang berkeinginan. Husnu Zan daripada beliau yang merasakan penulis berkeahlian untuk menghasilkan tajuk ini moga Allah membalas ke atas beliau dengan ganjaran yang selayaknya. Moga dengan niat murni dan kesungguhan beliau dalam soal hukum memberikan kebaikan kepada kita bersama serta memberikan kebaikan menyeluruh kepada masyarakat Islam di Malaysia dengan hakim-hakim seumpama beliau.

 

Tidak dilupakan nasihat, pengalaman, ilmu dan curahan idea daripada beliau kepada penulis diucapkan jutaan terima kasih.

 

Semoga usaha yang kecil dan kerdil ini mampu diselitkan di dalam neraca pemberat pada hari akhirat sana. Segala kelemahan dan kekurangan di dalam kertas kerja ini mohon diperbaiki dan diperbetulkan oleh mereka yang mengetahui.

 

Allahu A’lam

 

Disediakan oleh:

 

Muhammad Aidil Azwal Zainudin


 

Hayyu Asyir, Madinat Nasr

12 Dzulhijjah 1429 H

10 Disember 2008 M

 

ahsanulkalam@yahoo.com

 

SIAPAKAH DZAWUL ARHAM ?

 

Dzawul Arham: Setiap ahli keluarga si mati yang tidak mendapat perwarisan daripada bahagian ashabul furud atau asobah. Seumpama cucu lelaki dari anak perempuan, anak saudara seibu sebapa dan selainnya.

 

PENDAPAT ULAMA BERKENAAN PERWARISAN DZAWUL ARHAM

 

Berselisih pandangan di dalam perkara ini para sahabat, tabien dan para fuqaha kepada dua pendapat;

 

Mereka tidak mendapat apa- apa perwarisan. Jika seseorang mati tidak meninggalkan penerima fard atau asobah akan tetapi hanya meninggalkan dzawul arham. Dzawul Arham tidak berhak mendapat apa-apa habuan. Harta tersebut akan diserahkan kepada baitul mal.

 

Pendapat ini didokong oleh Zaid bin Thabit, Ibn Abbas pada salah satu riwayat yang lemah daripada beliau, Said bin Musayyib, Said bin Jubair, Auzaie, Abu Thur, Sufyn at-thauri, Makhul, Ahli Madinah, Zahiriah, Malik dan Syafie.

 

Mereka berhak mewarisi pada keadaan tidak terdapat ashab furud secara nasab dan asobah secara nasab.

 

Pendapat Jumhur ini didokong oleh Umar, Ali, Ibn Masu’d, Ibn Abbas, Muaz bin Jabal, Abu Darda’, Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Aisyah,  Syuraih, Al-Hasan, A’lqamah, an-Nakhaie, as-Sya’bi, Masruk, Muhammad bin al-Hanafiah, as-Thauri, Abu Nuaim, Yahya bin Adam, al-Qasim bin Salam, Ibn Sirin, Ata’, Mujahid, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, Zufar, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Al-Hasan bin Soleh, Isa bin Aban, Ishak bin Rahawaih, keseluruhan ulama Iraq, kufah, basrah dan mutaakhirin daripada Malikiah dan Syafieyah[2].

 

DALIL KEDUA-DUA PIHAK

 

DALIL MELARANG

 

Al-Quran

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

Maksudnya: dan tiadalah Tuhan mu itu lupa.[3]

 

Keterangan: Allah menjelaskan berkenaan pembahagian faraid secara lengkap di dalam 3 ayatnya di dalam Al-Quran. Di situ diperjelaskan hak ashab furud dan asobah. Tidak dinyatakan sama sekali mengenai hak dzawul arham. Memberikan habuan kepada dzawul arham tanpa penjelasan daripada syarak adalah seolah-olah menokok tambah apa yang telah disampaikan oleh Al-Quran.

 

As-Sunnah

 

i) Hadis Mursal yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Daruqutni;

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْلَمَةَ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ مُحَمَّدٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- رَكَبَ إِلَى قُبَاءٍ يَسْتَخِيرُ فِى مِيرَاثِ الْعَمَّةِ وَالْخَالَةِ فَأُنْزِلَ عَلَيْهِ لاَ مِيرَاثَ لَهُمَا

 

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Maslamah daripada Abd Aziz bin Muhammad daripada Zaid bin Aslam daripada Atha’ bin Yasar: Sesungguhnya Rasulullah s satu hari menunggang ke Quba’ bertanya berkenaan warisan ibu saudara sebelah ayah dan ibu saudara sebelah ibu. Lalu diturunkan wahyu bahawa tidak ada warisan untuk keduanya.

 

Kritikan: Kelompok yang mempertahankan warisan dzawul arham berhujah mempertikaikan hadis ini;

 

Hadis mursal tidak boleh dijadikan hujah.

 

Jika dikatakan al-Hakim telah menyambungkan sanadnya di dalam al-Mustadrak. Jawapan: Walaupun telah disambung, sanadnya tetap lemah. Setiap jalur sanad tidak boleh dijadikan hujah.

 

Jika diandaikan bahawa hadis itu sahih, nescaya hadis ini bertembung dengan dua firman Allah yang menerangkan tentang kedudukan dzawul arham. Kaedah usul mengatakan: Jika berlaku pertembungan, sama ada ditakwilkan atau ditinggalkan.

 

Kita temukan takwil yang mampu untuk menggabungkan di antara hadis ini dan firman Allah.

 

Takwil pertama: Hadis itu diriwayatkan sebelum diturunkan dua ayat firman Allah tersebut. Maka hadis ini dinasakhkan oleh Firman Allah tersebut. Tidak ada masalah Al-Quran menasakhkan Hadis.

 

Takwil yang kedua: Ia tetap tidak menafikan pewarisan dzawul arham kerana hadis hanya kepada ibu saudara sebelah ayah dan ibu saudara sebelah ibu. Menafikan sebahagian tidak bermaksud menafikan keseluruhan.

 

Takwil yang ketiga: Nabi memfatwakan tidak diberi hak kepada kedua individu tersebut apabila ditanya kepada baginda kerana masih ada yang berhak mewarisi dalam kisah hadis tersebut pada riwayat yang lain.

 

Kesemua takwil ini tidak menafikan untuk diberikan dzawul arham hak untuk mewarisi. Maka ini yang diguna pakai.

 

Hadis menyebut berkenaan persoalan seseorang mengenai warisan keduanya. Jawapan yang diberi, bagi keduanya tidak ada warisan seumpama ashab furud. Jawapan yang diberi tidak membawa maksud dzawul arham tidak dibenarkan menerima warisan sama sekali.

 

Maksud ucapan Nabi tidak ada warisan untuk keduanya ialah tidak ada kadar tertentu seumpama ashab furud.[4]

 

Akal

 

1) Faraid merupakan ketetapan yang Allah perinci satu persatu di dalam Al-Quran. Mana mungkin Allah sengaja meninggalkan penjelasan melainkan sebagai isyarat bahawa mereka tidak berhak mewarisi.

 

Kritikan: Allah telah menjelaskan kedudukan dzawul arham pada ayat 75 surah al-Anfal.

 

2) Menyerahkan baki harta kepada dzawul arham hanya memberi manfaat kepada kelompok kecil. Jika diserahkan kepada baitul mal, maka manfaatnya lebih besar. Kaedah fiqh ada menyebut: “Dahulukan kepentingan umum daripada kepentingan khusus”.

 

Kritikan: Baitul mal yang dimaksudkan oleh syarak sudah tidak wujud. Baitul mal yang digambarkan oleh fuqaha syafieyah dan malikiyyah berakhir pada akhir kurun ketiga. Adapun sekarang memberikan warisan kepada dzawul arham merupakan maslahat yang wajib dipelihara. Setiap kaedah fiqh ada pengecualiannya. Ini di antara pengecualiannya.

 

3) Jika disebabkan hubungan darah daging menjadi prasyarat mewarisi, kenapa Allah menjadikan suami mewarisi sedangkan tidak ada langsung hubungan darah daging? Kenapa Allah menjadikan warisan anak lelaki lebih besar berbanding anak perempuan sedangkan keduanya mempunyai hubungan darah dagingnya sama kuat kepada si mati? Itu pun jika kalian menyangka “Rahim (ikatan darah daging)” yang menjadi penimbang dalam faraid! Ketetapan Allah kah yang menjadi penimbang atau hubungan darah daging?!!!

 

Kritikan: Perbincangan di sini adalah pada memberikan hak warisan kepada dzawul arham pada ketika tidak terdapat ashab furud dan asobah bukan menyamaratakan kedudukan antara ashab furud dan asobah dengan dzawul arham. Hujah ini bukan pada tempatnya!. Jika hendak berhujah dengan ketetapan Allah menjadi penimbang, maka menyerahkan harta kepada baitul mal lebih jauh daripada kebenaran.

 

DALIL MEMPERTAHANKAN

 

Al-Quran

وَأُولُو الأرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

 

Maksudnya: Orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.[5]

 

Keterangan: Jelas daripada maksud Al-Quran sebahagian individu yang mempunyai pertalian kerabat lebih berhak daripada yang lain. Memberikan hak perwarisan kepada dzawul arham tidak termasuk menokok tambah kepada Al-Quran kerana mereka juga termasuk individu yang berhak mendapat habuan mengikut kategori umum walaupun mereka tidak termasuk di dalam kategori khusus (ashab furud @ asobah).

 

Ayat ini juga jelas menunjukkan hak yang diberikan oleh Allah kepada dzawul arham, bukan sebagaimana sangkaan sebahagian yang mengatakan tidak ada ketetapan pewarisan untuk dzawul arham.

 

Kaedah usul mengatakan; Setiap ayat membawa maksud umum kecuali terdapat takhsis. Tidak terdapat takhsis pada ayat ini untuk menafikan untuk dimaksudkan kepada dzawul arham. Pihak yang mendakwa wujud takhsis yang perlu mendatangkan dalil.

 

Atau di dalam bahasa lain seolah-olah Al-Quran ingin mengatakan: Kaum kerabat walau di bahagian mana sekalipun kedudukannya, mereka lebih berhak mewarisi sesama mereka disebabkan pertalian darah. Jika terdapat kaum kerabatnya, maka berikan warisannya serta jangan diutamakan sesiapapun selain mereka. Dari ini dzawul arham lebih berhak daripada baitul mal.

 

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالأقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالأقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا

 

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; Iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).[6]

 

Keterangan: Secara jelas Al-Quran menyebut bahawa kaum kerabat berhak mendapat warisan. Apa yang membezakan adalah sedikit atau banyak. Secara sepakat Ulama mengatakan dzawul arham termasuk di dalam kategori kaum kerabat.

 

Hadis

 

i) Imam Tirmidzi meriwayatkan hadis hasan dan Ibn Hibban meletakkan hadis ini di dalam kumpulan hadis sahihnya;

 

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْن سَهْل بْن حُنَيْف قَالَ " كَتَبَ عُمَرُ بْن الْخَطَّاب إِلَى أَبِي عُبَيْدَة : إِنَّ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اللَّهُ وَرَسُولُه مَوْلَى مَنْ لَا مَوْلَى لَهُ , وَالْخَال وَارِثُ مَنْ لَا وَارِثَ لَهُ "

 

Maksudnya: Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif berkata: Umar bin Khattab telah menulis surat kepada Abu Ubaidah: Sesungguhnya Rasulullah s pernah bersabda: Allah menjadi pembela kepada sesiapa yang tidak ada pembela dan bapa saudara sebelah ibu akan mewarisi kepada sesiapa yang tidak ada yang akan mewarisinya.

 

ii) Di dalam as-Sunan al-Kubra[7] baginda Nabi s memberikan hak perwarisan kepada Abu Lubanah bin Abd Munzir untuk mewarisi daripada bapa saudaranya sebelah ibu. Sahabat tersebut bernama Thabit bin Dahdah.

 

iii) Abu Ubaidah bin Jarrah menulis surat kepada Umar berkenaan siapa yang berhak mewarisi Sahl bin Hanif selepas terbunuhnya. Dia tidak mempunyai ahli keluarga kecuali bapa saudara sebelah ibunya. Umar menjawab bahawa Nabi s bersabda:

 

اللَّهُ وَرَسُولُه مَوْلَى مَنْ لَا مَوْلَى لَهُ , وَالْخَال وَارِثُ مَنْ لَا وَارِثَ لَهُ

 

Ijmak

 

1)Al-Muktadid pernah bertanya Abu Hazim al-Qadi[8] berkenaan masalah perwarisan dzawul arham. Berkata Abu Hazim: Ijmak para sahabat Nabi selain daripada Zaid bin Thabit bahawa dzawul arham berhak mewarisi. Tidak boleh dijadikan pendapat zaid bin thabit sebagai hujah untuk menyalahi ijmak mereka.

 

2) Juga hujah realiti iaitu pelaksanaan secara praktikal[9] yang dilakukan pada zaman baginda masih hidup, para sahabat dan tabien selepas mereka yang memberikan hak perwarisan kepada dzawul arham. Praktikal yang diamalkan oleh generasi salaf soleh terdahulu lebih kuat berbanding ucapan nas yang disampaikan[10].

 

3) Sekadar maklumat tambahan, Ulama Syafieyah pada awal kurun ke empat[11] dan ulama Malikiah pada awal kurun ketiga[12] telah menarik kembali pendapat mereka dan mengatakan dzawul arham berhak mewarisi. Jika begini yang kita dapati daripada pendapat para Fuqaha, tidak melampau kita katakan: Dzawul arham berhak mewarisi merupakan masalah yang telah disepakati Ulama bermula pada kurun keempat.

 

Logik

 

1) Jika dzawul arham tidak berhak mendapat habuan daripada harta faraid nescaya baki harta tersebut akan diserahkan ke baitul mal. Di dalam kata lain, kaum Muslimin yang akan mengambil manfaat daripada harta faraid itu. Kenapa dzawul arham tidak diberikan hak mewarisi sedangkan Dzawul arham mempunyai ikatan kekeluargaan dan hubungan nasab yang lebih kuat dengan si mati berbanding kaum Muslimin lainnya. Amat jelas dzawul arham lebih berhak daripada kaum Muslimin.

 

2) Malikiah dan syafieyah menjadikan baitul mal berhak mewarisi disebabkan hubungan kekeluargaan pada akidah Islam. Kita juga temukan pada dzawul arham hubungan kekeluargaan pada sudut Islam dan darah daging. Maka dzawul arham lebih berhak. Bukankah kita telah mempelajari kaedah; Mana-mana individu yang mempunyai hubungan dengan si mati melalui dua jalan akan diutamakan daripada yang mempunyai hubungan melalui satu jalan. Seumpama diutamakan saudara lelaki seibu sebapa berbanding saudara lelaki sebapa sahaja. Bapa saudara seibu sebapa diutamakan berbanding bapa saudara sebapa sahaja. Apa yang menghalang untuk menggunakan kaedah yang sama untuk mengutamakan dzawul arham berbanding baitul mal?!

 

PENDAPAT TERKUAT

 

            Berdasarkan segala hujah dan alasan yang diberikan oleh semua ulama, maka pendapat yang wajar dipertahankan ialah pendapat yang memberikan hak pewarisan kepada dzawul arham pada ketika tidak terdapat ashab furud secara nasaba dan asobah secara nasab. Ini disebabkan;

 

1.      Kuat dalil dan alasan yang diberikan serta selamat daripada dilemahkan.

2.      Ia merupakan praktikal yang dilakukan daripada zaman Nabi, sahabat dan para tabien selepas mereka.

3.      Menyelesaikan banyak masalah di dalam masyarakat yang hidup pada zaman penuh dengan tekanan ekonomi.

4.      Pendapat ini pendapat yang paling sederhana di antara yang memberikan secara mutlak dan menghalang secara mutlak.

5.      Menepati falsafah yang baginda sampaikan; Meninggalkan ahli keluarga dalam keadaan kaya lebih baik daripada membiarkan mereka meminta-minta.

 

Memandangkan kepada hujah dan dalil yang dibawa oleh Jumhur Ulama, maka pendapat ini dijadikan perundangan di Mesir, Kuwait dan Syria.

 

- Termaktub di dalam  undang-undang mawaris Mesir bilangan 77 tahun 1943 M pada bab ke lima, fasal 31-35 berkenaan hak dzawul arham untuk mewarisi. Pada Fasal 31 menyebut: “Jika tidak ditemukan sesiapapun daripada asabah nasab dan ashab furud nasab, maka harta peninggalan atau bakinya menjadi milik dzawul arham”

 

- Termaktub di dalam undang-undang mawaris Kuwait pada fasal 319 baris 1: “Jika tidak ditemukan sesiapapun daripada asabah nasab dan ashab furud nasab, maka harta peninggalan atau bakinya menjadi milik dzawul arham”

 

- Termaktub di dalam undang-undang mawaris Syria pada fasal 289-297 berkenaan warisan dzawul arham.

 

Ulama kotemporari yang pertahan warisan dzawul arham:

 

1.      Hasanain Muhammad Makhluf

2.      Rafiq Yunus al-Masri

3.      Nasr Farid Wasil

4.      Soleh Ahmad as-Syami

5.      Al-Qadi Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid

6.      Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni

7.      Muhammad Bultaji

8.      Muhammad Abu Zahrah

9.      Ali Jumaah

10.  Wahbah Zuhaili dan selain mereka ramai lagi.

 

KESIMPULAN

 

Baitul mal fasad. Selepas kurun ketiga tidak ditemukan lagi baitul yang mampu berperanan sebagaimana yang diinginkan oleh syarak. Maka dari ini sepakat kesemua mazhab mengatakan dzawul arham berhak mewarisi.

Kalau wasiah wajibah boleh terima, lagi patut terima pewarisan dzawul arham. Ini kerana dalil pensyariatan wasiat wajibah lebih lemah dibandingkan pewarisan dzawul arham.

Kaedah dalam Ijmak, praktikal lebih didahulukan daripada nas.

Memberikan hak perwarisan kepada dzawul arham lebih sederhana dan berhati-hati. Menyerahkan harta berbaki kepada baitul adalah penyerahan kepada pihak yang tidak ada hubungan darah daging dengan si mati sedangkan faraid merupakan hak kepada ahli keluarga dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sepertiga harta yang diwasiatkan kepada yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dikatakan banyak oleh baginda. Inikan pula menyerahkan keseluruhan harta kepada baitul mal.

Taqlid kepada para sahabat lebih aula daripada bergantung pada hujah-hujah yang ditemui.

Masalah Rod dan dzawul arham mempunyai kesamaan dari sudut perselisihannya. Jika menerima masalah rod, juga mesti menerima masalah dzawul arham.

 

PENUTUP

 

            Kertas kerja kerdil ini dihasilkan dengan niat berkhidmat demi agama dan pengikutnya. Tidak ada kepentingan kecuali ingin melihat perundangan Islam terlaksana dengan sempurna dan kita sama-sama mampu melihat hikmat dan kecantikan perundangan ini secara realiti. Sebagaimana ancaman yang dahsyat kita temukan pada beberapa riwayat kepada para Hakim-hakim dan Qadi-qadi yang menguruskan hal ehwal kaum Muslimin, juga kita temukan riwayat yang menunjukkan kelompok ini berada di satu kedudukan yang terlalu istimewa disebabkan peranan dan jasanya kepada kaum Muslimin. Sabda Nabi s sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tabrani di al-Mu’jam al-Ausat:

 

حدثني ابن بريدة ، عن أبيه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : القضاة ثلاثة : فرجل قضى فاجتهد فأصاب فله الجنة ، ورجل قضى فاجتهد فأخطأ فله الجنة ، ورجل قضى فجار ففي النار

 

Maksudnya: Ibnu Buraidah meriwayatkan kepada aku daripada bapanya daripada Nabi s : Qadi itu terdapat 3 kelompok; Seorang yang memutuskan satu hukuman, dia berijtihad dan ijtihadnya tepat maka baginya syurga. Seorang lagi memutuskan satu hukuman dan berijtihad tetapi ijtihadnya tersalah, baginya juga syurga. Seorang lagi memutuskan hukuman dalam keadaan zalim, maka baginya neraka.

 

Moga-moga Allah memberikan petunjuk dan inayahnya kepada para Hakim-hakim serta Qadi-qadi yang bekerja dan berusaha untuk meletakkan hukum Allah sesuai pada tempatnya. Allahumma Amiin. Penulis akhiri kertas kerja ini dengan satu nasihat yang pernah diberikan oleh Fudhail bin Iyad kepada mereka yang terlantik menjadi Qadi atau Hakim;

“Jika seseorang terlantik menjadi Qadi hendaklah dia menjadikan sehari untuk memutuskan hukuman dan sehari untuk menangis”

 

____________________

[1] Al-Baqarah: 188

[2] Pendapat al-Muzani dan Ibn Suraij mengatakan: “Jika tidak ada yang mewarisi kecuali suami atau isteri, tidak dibenarkan rod kepada mereka berdua akan tetapi diserahkan kepada dzawul arham”. Lihat Raudhah at-Tholibin

 

Ijmak para mutaakhirin Syafieyah bahawa dzawul arham akan mewarisi jika baitul mal tidak sistematik dengan syarat tidak terdapat ashab furud @ asobah. Maksud tidak sistematik di sini ialah pemimpin menyalahgunakan wang baitul mal. Ar-

 

Rafie mengatakan dzawul arham diberikan hak perwarisan sebagai menjaga maslahah bukan disebabkan berhak mewarisi. Lihat: Minhaj at-Tolibin dan syarahnya.

 

Malikiyah berpendapat Dzawul Arham boleh mewarisi dengan syarat tidak ada ashab furud, asobat dan pemimpin di waktu itu tidak adil. Sila lihat: as-Syarh al-Kabir li ad-Dardir.

 

Malikiyyah dan Syafieyah seperti Hanafiah dan Hanabilah mendahulukan rod jika terdapat ashab furud. Tidak akan diberi kepada Dzawul arham. Jika tidak ada ashab furud, maka dzawul arham akan mewarisi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan. Lihat: Hasyiah al-Baqri kepada Matan Rahabiah.

 

[3] Maryam: 64

 

[4] Lihat: Nailul authar pada hujah dan perdebatan berhubung hadis berkenaan.

 

[5] Al-Anfal: 75

 

[6] An-Nisa’: 7

 

[7] (6/215).

 

[8] Nama beliau Ahmad bin Muhammad bin Nasr. Meninggal pada tahun 316 H. Lihat: Tarikh Baghdad.

 

[9] Riwayat berkenaan masalah Rod dan perwarisan dzawul arham merupakan riwayat yang kita peroleh secara perbuatan bukan perkataan. Ibn Khuzaimah dan selain beliau daripada para al-Huffaz perkara ini merupakan Ijmak. Lihat: Al-Iqna’ fi Masail al-Ijmak karangan Al-Imam Al-Hafiz Ali bin al-Qattan al-Fasi

 

[10] Panjang lebar isu ini dibahaskan oleh Ahli Hadis dan Ulama Usul Feqh. Contohnya: Imam Malik mendahulukan amalan penduduk Madinah berbanding hadis Ahad.

 

[11] Lihat: Hasyiah Qalyubi dan Umairah, Nihayah al-Muhtaj karangan ar-Ramli

 

[12] Lihat: Syarah az-Zarkhani a’la mukhtasor khalil.