بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
HAKIKAT DOSA DAN PAHALA
Islam meletakkan setiap orang yang beramal dengan
kebaikan akan diberikan ganjaran yang setimpal dan sesiapa yang beramal dengan
amal kejahatan juga akan dibalas dengan balasan yang setipal berdasarkan
firman Allah Taala yang berbunyi:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ
مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
MaksudnyaL“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah,
nescaya kan dilihatnya(dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan
seberat zarah, nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalnya)” Surah Az Zalzalah
:7-8
Tidak ada pengecualian dalam amalan kebajikan dan
kejahatan menurut Islam antara hamba-hambaNya, lelaki atau wanita, ibu bapa
melainkan para Nabi dan Rasul yang ma’sum daripada melakukan sebarang
kesilapan.
Di dalam kitab Fathu al Bari karangan Ibnu Hajar Al
‘Asqalani syarahan kepada Sahih al Bukhari ada menyebutkan seorang sahabat
bertanya kepada Nabi tentang apakah dosa yang paling besar. Maka Nabi menjawab:
Seseorang yang mensyirikkan Allah dengan makhluk lain sedangkan Allah yang
menciptakannya dan seorang lelaki yang membunuh anaknya kerana tidak mahu
berkongsi makanan dengan anaknya itu kerana kemiskinan.
Hadis di atas menjelaskan bahawa ibu bapa tidak terlepas
daripada dosa sekiranya tidak melaksanakan tanggungjawab kepada anaknya. Bahkan
Nabi menyebutkan itulah dosa yang paling besar selepas mensyirikkan Allah
dengan makhluk.
KEDUDUKAN IBU BAPA DALAM ISLAM
Namun Islam memberikan kedudukan yang istimewa kepada ibu
bapa untuk ditaati perintah mereka dan menderhaka mereka merupakan satu
kesalahan. Firman Allah Taala di dalam surah al-Ankabut ayat 8:
وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ
حُسْنًا وَإِنْ جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا
تُطِعْهُمَا إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau
mempersekutukan daku (dalam ibadatmu) Dengan sesuatu Yang Engkau tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah Engkau taat kepada mereka.
kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan
kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.
Sabda Nabi:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَاقٍ وَلاَ
مُكَذِّبٌ بِالْقَدْرِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang menderhaka
)ibu bapa( dan orang yang mendustakan qadar(ketentuan Allah)”. Hadis riwayat
Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya.
Sehinggakan Islam meletakkan mereka wajib ditaati dalam
semua keadaan melainkan sekiranya mereka menyuruh melakukan perkara maksiat dan
haram menurut Islam.
Firman Allah Taala:
“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan Daku(dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai
pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka” Surah
al Ankabut : 8
Dapat difahami daripada ayat di atas, sekiranya anak-anak
tidak boleh mengikut sesuatu arahan yang tidak diketahui benar atau salah
perbuatan itu, maka lebih utama supaya tidak mengikut sesuatu yang diketahui
dan pasti kesalahan dan kebatilan sesuatu perbuatan tersebut.
Sebuah hadis sahih riwayat Ahmad dan Al-Hakim daripada
Imran dan Al Hakam bin ‘Amru Al Ghifari yang berbunyi:
لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ
الْخَالِقِ
Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam
melakukan maksiat kepada Al Khaliq(Allah)”.
KESIMPULAN
Ibu bapa merupakan insan yang terlalu banyak jasa kepada
anak-anaknya sehingga sanggup membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi
untuk anak-anaknya dan sentiasa berangan-angan memberikan kebahagiaan kepada
anak-anaknya. Tidak dinafikan ada daripada kalangan ibu bapa yang tidak
melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tetapi jauh di sudut hati
mereka pasti ada perasaan ingin melakukan yang terbaik demi masa depan
anak-anak mereka.
Walaupun ibu bapa tidak terlepas daripada melakukan
kesalahan, ini tidak bererti mereka boleh diperlakukan sesuka hati oleh
anak-anak sedangkan Allah telah memberikan hak istimewa kepada mereka. Adakah
dengan sedikit kesalahan yang mereka lakukan sanggup memadamkan semua kebaikan
mereka mendidik anak-anak sejak kecil sehingga menjadi dewasa?? Insya
Allah dengan kesalahan yang sedikit itu mampu dipadamkan dengan kebaikan mereka
yang tidak terhitung banyaknya.
Perkara yang paling penting dan perlu disedari oleh semua
pihak ialah anak-anak ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada ibu bapa
dan ibu bapa juga ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan kepada anak-anak.
Masing-masing perlu memberikan hak masing-masing demi menjaga keharmonian
sesebuah keluarga agar sentiasa dipayungi dengan rahmat Allah Taala.
Allahu a‘lam
Disediakan oleh;
Abdul Hadi Awang
Kuliyah Usuluddin Jabatan Hadis
Disemak;
Muhammad Aidil Azwal Zainudin