Islam memberikan perhatian khusus berhubung
kebersihan bagi seorang Muslim. Tidak ada agama yang menjadikan urusan
kebersihan di antara sepenting-penting perkara di dalam agama kecuali Islam.
Kebersihan yang dituntut tidak hanya semata bersihnya pakaian, anggota dan
tempat ibadat serta selamat tubuh daripada hadas kecil dan besar tetapi Islam
juga menitik beratkan kebersihan batin seperti ikhlas, jauh dari hasad, dengki,
bongkak dan sebagainya sebagai pelengkap ajaran Islam yang maha sempurna.
Perintah ke atas setiap Muslim agar bersih dalam setiap ibadat sebagai isyarat
sentiasa bersih di dalam semua perkara. Bersih adalah mengagungkan Allah,
bersih adalah khusyuknya jiwa, bersih adalah kerukunan hati, bersih adalah
kemurnian jiwa pemiliknya bersih adalah... bersih adalah...
Allah
menjadikan kebersihan sebagai salah satu prasyarat untuk mendapat kasih sayang
Allah. Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 222;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ
الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang
yang sentiasa menyucikan diri.
Pujian Allah kepada Ahli Quba’ di dalam surah
at-Taubah ayat 108;
رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya:
Orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan)
dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir
dan batin).
Seorang
Muslim mesti menjadi contoh kepada segala kecantikan, kesempurnaan dan
kebersihan dalam kehidupan seharian. Lambang kepada kebersihan zahir dan batin
sebagaimana pesanan baginda kepada sekelompok daripada sahabat di dalam hadis
sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, Hakim dan Baihaqi;
إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا
رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي
النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلَا التَّفَحُّشَ
Maksudnya: Sesungguhnya akan kamu masuk bertemu
saudara kamu, maka indahkan kenderaan kamu, elokkan pakaian kamu sehingga kamu
seperti tahi lalat (jelas terlihat) di hadapan orang ramai. Sesungguhnya Allah
tidak menyukai dosa-dosa pada perbuatan dan perkataan dan sengaja melakukan
dosa.
Bahkan tuntutan kecantikan menjadi
terlebih utama apabila ada keterikatannya dengan sah atau tidaknya sesuatu
ibadat yang dilakukan. Sabda Nabi J
sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah;
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ
عَزَّ وَجَلَّ صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ وَلَا صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya:
Allah tidak menerima sedekah daripada jalan haram dan tidak menerima solat
tanpa bersuci.
APA
ITU KEPUTIHAN?
Keputihan: Sebatian yang di rembes oleh sistem peranakan
wanita
Maka daripada definisi
tersebut dapat difahami keputihan yang keluar dari sistem peranakan wanita
terdiri daripada;
1)
Lembapan
faraj: Sedikit lembapan yang didapati oleh seorang wanita
apabila meletakkan kain di farajnya.
2) Al-Qassah al-Baido’:
Berkata Imam al-Zailaie t: Sesuatu yang seperti benang putih(bertali) yang
keluar dari kemaluan wanita pada hari terakhir haidnya. Sebagai tanda wanita
itu telah suci.
Sebahagian ulama mengatakan: Air putih yang keluar pada akhir tempoh
haid.
3) Mazi: Lendir lembut yang likat yang
keluar dari qubul tanpa memancut ketika bersyahwat.
4) Wadi: Lendir lembut putih yang keluar
setelah kencing atau keletihan.
5)
Mani:
Lendir likat yang keluar dari kemaluan ketika kemuncak
syahwat. Mani wanita kuning dan lembut.
Semua ini merupakan istilah khusus di kalangan fuqaha berhubung lendir
selain darah yang keluar dari sistem peranakan wanita. Di dalam bahasa awam ia
dipanggil keputihan. Berkenaan mazi, wadi dan mani tidak dibahaskan di sini
kerana sifat dan kriteria air tersebut dapat dikenali dan dibezakan di antara
satu sama lain dan hukum mengenai keduanya jelas di sisi kita.
Perbahasan hanya menjurus yang
pertama dan kedua (lembapan faraj & Al-Qassah Al-Baido’) kerana ini yang
dimaksudkan dengan keputihan di dalam bahasa orang ramai.
KEADAAN
KEPUTIHAN YANG KELUAR DARI SEORANG WANITA
Terdapat
tiga keadaan keputihan yang keluar dari sistem peranakan seorang wanita;
1)
Normal: Faraj mengeluarkan lendir tidak
berwarna dan tidak berbau. Ia berfungsi sebagai pelindung semula jadi
dengan cara mengurangkan geseran dinding faraj ketika berjalan dan ketika saat
melakukan hubungan seks. Dalam keadaan normal lendir ini dominan dan tidak
berlebihan, hanya sekadar untuk menjaga ekosistem faraj. Lendir jenis ini tidak
keluar dari sistem peranakan wanita dan tidak dipermasalahkan oleh para wanita.
Ia seumpama air liur yang sentiasa berada di dalam mulut.
2)
Normal: Keadaannya sepertimana yang pertama. Akan tetapi kadarnya agak berlebihan
sehingga ianya meleleh keluar dari sistem peranakan seorang wanita. Ini yang
dinamakan keputihan mengikut bahasa awam dan dipermasalahkan oleh para wanita
mengenai hukum berkenaannya. Keputihan ini keluar pada ketika;
- Tanda suci dari haid.
- Keluar sebelum kedatangan haid.
- Keluar ketika hamil.
- Keluar ketika waktu subur.
- Ketika persetubuhan dan naik syahwat. (Keputihan ini dikeluarkan dari
bibir faraj)
- Mencantumkan di antara benih lelaki dan wanita dan sebagai pembekal
makanan kepada benih lelaki yang berada di dalam rahim. (Keputihan ini
dikeluarkan oleh pangkal rahim)
- Keluar ketika dalam kemurungan atau kegembiraan teramat sangat.
- Selepas menopaus.
3)
Tidak
normal: Keadaan ini berlaku apabila keputihan yang keluar
terlalu banyak dan berlaku perubahan pada warna, bau dan rasa gatal. Lendir
menjadi kekuningan sehingga kehijauan, rasa gatal, luka bibir faraj, terlalu
kental dan berbau. Keadaan ini memerlukan rawatan doktor.
Dari sini dapat difahami bahawa keputihan adalah lembapan faraj yang
dimaksudkan oleh fuqaha di dalam kitab-kitab mereka. Lembapan faraj yang normal
seumpama peluh pada kulit kita masing-masing. Apabila lembapan ini di rembes
secara berlebihan oleh badan, maka awam menamakannya sebagai keputihan.
Adapun keputihan yang keluar sebagai petanda sucinya wanita daripada haid
disebut di dalam istilah khusus fuqaha sebagai Al-Qassoh Al-Baido’. Setiap
wanita dapat mengetahui dirinya telah tamat tempoh haid dengan dua keadaan;
Sama ada dengan keluarnya keputihan atau kering dari darah haid dengan cara
dimasukkan kapas ke dalam kemaluan dan kapas itu tidak dicemari dengan darah
haid. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah g yang diriwayatkan
oleh Bukhari:
كُنَّ
نِسَاءٌ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ بِالدُّرَجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ
الصُّفْرَةُ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ
Maksudnya:
Sekumpulan wanita pergi bertemu dengan Saidatina Aisyah dengan kapas yang
terdapat kekuningan padanya. Maka berkata Saidatina Aisyah: Jangan kalian
gopoh, sehinggalah kalian melihat lendir putih.
Ibn
Hajar menyebut di dalam Fath Bari: Al-Qassah ialah air putih yang
dikeluarkan oleh rahim apabila berakhir tempoh haid.
Berkata
Imam Malik: Aku pernah bertanya wanita mengenai lendir putih tersebut. Ia
merupakan perkara yang makruf yang para wanita mengetahuinya ketika bersih
daripada haid.
KAWASAN
YANG MENGELUARKAN KEPUTIHAN
Terdapat
empat tempat yang mengeluarkan keputihan bagi wanita;
1)
Vulva
(Bibir faraj)
2)
Vagina
(Faraj)
3)
Cervix
(Pangkal Rahim)
4)
Uterus
(Rahim).

Kawasan yang paling banyak mengeluarkan keputihan yang berlebihan jika
berlaku perubahan hormon ialah pangkal rahim dan faraj.
PERANAN
KEPUTIHAN NORMAL KEPADA WANITA
Keputihan
yang normal berperanan sebagai;
1)
Melembap
2) Membersihkan
3) Penyediaan medium pH yg sesuai utk badan dan peranakan
4) Cairan semula jadi yang membantu ketika berlaku persetubuhan.
5) Membersihkan sistem peranakan dan membuang sel-sel lama dan mengganti
dengan yang baru.
Di dalam Subul as-Salam menukilkan ucapan para doktor: Sesungguhnya air
putih ini (Al-Qassah) yang datang setelah haid sebagai melembutkan dinding
rahim. Dinding rahim dibalut dan melembut dengan air ini sebagai persediaan
menyambut benih baru setelah membuang benih lama yang tidak disenyawakan.
Mereka berkata: Ia sebagai katil dan hamparan kepada tetamu yang ditunggu.
Berbaki
persoalan untuk dijawab:
1)
Adakah
keputihan itu membatalkan wuduk
2)
Adakah
keputihan itu najis
PERKARA
MEMBATALKAN WUDUK
Terdapat 4 perkara yang membatalkan wuduk di dalam Mazhab kita Imam Syafie;
1)
Keluar
sesuatu dari qubul atau dubur kecuali mani
2)
Hilang
akal kecuali tidur tetap papan punggung
3)
Sentuh
kulit lelaki dan wanita tanpa lapik
4)
Menyentuh
kemaluan anak Adam dengan telapak tangan.
-
Apakah
qubul bagi seorang wanita?
Jelas kepada kita semua tanpa diperjelaskan qubul wanita berbeza dengan
qubul bagi seorang lelaki. Penjelasan berkenaan ini penting agar tidak
meletakkan hukum yang berlainan pada tempat yang sama.
Berkata al-Khatib Syarbini: Para Fuqaha menggunakan bahasa “keluar dari
dua jalan” sekadar mengikut kebiasaan kerana hakikatnya bagi wanita terdapat
tiga jalan. Dua di qubul dan satu di dubur.
Dua saluran qubul yang dimaksudkan bagi wanita ialah saluran peranakan
dan saluran kencing.
-
Apakah
semua yang keluar dari qubul membatalkan wuduk?
Para Fuqaha membahagikan benda yang keluar dari qubul dan dubur dengan;
1)
Kebiasaan
keluar melalui jalan tersebut seumpama tahi, air kencing,
angin, mazi dan wadi. Adapun keluar mani tidak membatalkan wuduk.
2)
Jarang-jarang
keluar dari qubul dan dubur seumpama batu, cacing, kencing
tidak lawas dan istihadah.
Pada pandangan Syafieyah batal wuduk jika keluar sesuatu
dari qubul atau dubur sama ada benda yang menjadi kebiasaan keluar dari situ
atau tidak. Hanya sanya terdapat perbincangan Ulama selain Syafieyyah pada
benda yang tidak menjadi kebiasaan yang keluar dari qubul atau dubur seumpama batu,
cacing dan seumpamanya. Maka dapat disimpulkan di sini, keputihan yang keluar
merupakan salah satu di antara perkara yang membatalkan wuduk.
ADAKAH
KEPUTIHAN ITU NAJIS?
Berselisih ulama pada hukum keputihan berdasarkan definisi yang diberikan
oleh mereka berhubung keputihan: Air yang berada di antara mazi dan peluh.
1) Kelompok yang mengatakan unsur peluh
lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia bersih. Ini kerana peluh bersih
dan tidak najis. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh
Muslim:
عَنْ
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ عِنْدَنَا فَعَرِقَ وَجَاءَتْ أُمِّي
بِقَارُورَةٍ فَجَعَلَتْ تَسْلِتُ الْعَرَقَ فِيهَا فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا الَّذِي
تَصْنَعِينَ قَالَتْ هَذَا عَرَقُكَ نَجْعَلُهُ فِي طِيبِنَا وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ
الطِّيبِ
Maksudnya:
Baginda Nabi masuk kepada kami dan tidur qailulah. Baginda berpeluh ketika
tidur. Maka ibu ku datang dengan membawa bekas lalu menadah peluh baginda ke
dalam bekas tersebut. Baginda Nabi terjaga dan berkata: Wahai Umma Sulaim, apa
yang sedang engkau lakukan. Dia menjawab: Ini peluh mu. Kami ingin
menjadikannya ia minyak wangi kami dan ia merupakan sebaik-baik wangian.
2) Kelompok yang mengatakan unsur mazi lebih
banyak di dalam keputihan mengatakan ia najis. Ini berdasarkan hadis Sayidina
Ali yang diriwayatkan oleh Muslim:
عَنْ
عَلِيٍّ قَالَ كُنْتُ رَجُلًا مَذَّاءً وَكُنْتُ
أَسْتَحْيِي أَنْ أَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
لِمَكَانِ ابْنَتِهِ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بْنَ الْأَسْوَدِ فَسَأَلَهُ فَقَالَ
يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ
Maksudnya:
Aku lelaki yang sentiasa keluar air mazi. Aku malu untuk bertanya baginda Nabi J kerana aku menantu baginda. Aku
meminta al-Miqdad bin Aswab untuk bertanya baginda. Baginda menjawab: Hendaklah
dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.
Dari
hadis ini jelas menunjukkan mazi najis dan membatalkan wuduk.
Kelompok
yang mengatakan lembapan/keputihan menyamai peluh lebih kuat. Maka daripada apa
yang telah disebutkan dapat disimpulkan sebagaimana yang disebut di dalam
Nihayah al-Muhtaj & Tuhfah al-Muhtaj (dua kitab muktabar di dalam Mazhab
Syafie):
Keputihan
itu terdapat tiga jenis:
1)
Bersih. Iaitu yang berada di tempat yang terzahir ketika duduk bagi seorang
wanita. Kawasan yang wajib dibasuh ketika mandi junub dan istinjak.
(Keputihan yang datang dari bibir faraj /vulva).
2)
Najis. Keluar dari dalam faraj. Iaitu kawasan yang melebihi kadar yang boleh
dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari pangkal rahim/cervic dan rahim/uterus)
3)
Bersih mengikut pendapat terkuat. Dari kawasan yang mampu dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari faraj/vagina. Panjang vagina dalam 7-9 cm).
Di sini dapat kita memahami kaedah ulama yang mengatakan setiap benda
yang mengalir di dalam tubuh benda hidup hukumnya najis. Seumpama darah,
muntah, kencing dan lain-lain.
-
Kemungkinan ada yang mempersoalkan, kenapa dihukum bersih keputihan/lembapan
yang datang dari kawasan yang boleh dicapai oleh zakar sedangkan ia termasuk
kawasan di dalam tubuh manusia?. Penulis tambah di sini fatwa Ibn Hajar
al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah berhubung masalah
tersebut:
“Soalan:
Keputihan/lembapan yang secara nas mengatakan ianya bersih, apakah termasuk
keputihan yang didapati ketika berjimak yang kadang-kadang ianya keluar,
ataupun ia tidak termasuk kategori bersih?
Jawapan:
Secara jelas sesungguhnya lembapan faraj haiwan (termasuk manusia) yang bersih, juga bersih jika ia berada di zahir.
Iaitu yang didapati di antara dua bibir faraj. Sama hukum bersih sama ada masih
di bibir faraj atau yang telah berpindah.
Berlainan hukumnya lembapan yang datang dari dalam iaitu yang datang
dari belakang bibir faraj. Ianya najis akan tetapi tidak dikatakan najis
kecuali setelah berpindah dari tempat asalnya (dalam faraj). Ini kerana setiap
yang masih berada di dalam rongga tidak dihukumkan dengan najis kecuali setelah
berpisah dari tempat tersebut.
Bertitik tolak daripada situ tidak dikatakan najis zakar individu yang
bersetubuh kerana asal normal keadaan tidak akan meleleh keluar lembapan dari dalam
faraj. Jika diyakini keluar lembapan itu ketika jimak maka najislah bibir faraj
dan zakar yang menyetubuhinya. Maka lembapan yang keluar ketika jimak;
1)
Diyakini
datang dari zahir
2)
Syak
sama ada datang dari zahir atau dari dalam. Kedua-dua keadaan ini dihukumkan ia
bersih
Jika
diyakini ia datang dari dalam maka lembapan itu najis.”
KESIMPULAN
1)
Keputihan
yang keluar tidak semestinya penyakit. Keputihan yang normal atau tidak dapat
diketahui oleh wanita itu sendiri
2)
Keputihan/lembapan
yang berada di bibir faraj bersih sama ada terpisah dari bibir faraj atau
tidak. Ia menyamai peluh di anggota badan. Ini pendapat terkuat di kalangan
Syafieyah.
3)
Keputihan
yang datang dari kawasan dalam faraj tidak dihukumkan najis kecuali terpisah
dari kawasan asalnya.
4)
Jika
meragui sama ada lembapan/keputihan dari bibir faraj atau dalam faraj, maka
hukumnya bersih.
5)
Jika
pasti lembapan/keputihan dari dalam faraj sepakat ulama syafieyah mengatakan ia
najis.
6)
Keputihan
yang keluar dari dalam rongga peranakan sehingga membasahkan pakaian dalam
membatalkan wuduk kecuali pakaian dalam dilembapkan oleh lendir dari bibir
faraj. Ini tidak membatalkan wuduk.
Nota
hujung: Dikatakan di antara punca masalah keputihan (tidak normal) yang
berlebihan sehingga keputihan yang keluar menjadi kekuningan sehingga kehijauan
dan berbau busuk yang menimpa para wanita adalah disebabkan memakan kubis bulat
atau kuahnya. Kesannya boleh membawa kegatalan, rasa sakit, tidak selesa dan
jangkitan kuman kepada kemaluan wanita tersebut. Jika masalah ini serius ia
boleh membawa kepada penyakit kanser pangkal rahim, kemandulan dan Migrain.
Allahu
A’lam
Disediakan
oleh:
Muhammad
Aidil Azwal bin Zainudin