بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
Mana-mana wanita yang didatangi Haid atau Nifas terhalang
daripada melakukan tujuh perkara ibadat;
1) Mandi Haid/Nifas atau berwuduk
2) Solat
3) Puasa
4) Tawaf
5) Membaca Al-Quran, menyentuh
dan membawanya
6) Masuk Masjid
7) Brsetubuh dengan suami
walaupun dengan lapik
Ini merupakan tujuh larangan yang diharamkan kepada
wanita yang didatangi Haid atau Nifas untuk melakukannya. Wanita yang didatangi
Haid dan Nifas hanya diberi kelonggaran untuk mandi sunat Ihram sahaja, bahkan
sunat.
Mandi junub, mandi sunat ihram, mandi haid @ nifas dan
selainnya sama sahaja. Hanya berbeza pada sudut niat.
BERWUDUK KETIKA HAID/NIFAS
Berhubungan dengan persoalan penanya menjurus kepada
bahagian pertama. Kemungkinan kemusykilan yang ingin ditanya, apakah
larangan berwuduk (bersuci) itu secara mutlak tanpa pengecualian?
Berkata Syafieyah dan Hanabilah: Mandi Haid@Nifas dan
berwuduk hanya dikhususkan kepada mereka yang tidak berhalangan. Perempuan yang
sedang didatangi Haid/Nifas tidak akan terangkat hadas mereka dengan mandi atau
berwuduk tersebut. Jika dilakukannya dengan tujuan bermain-main, perbuatan ini
boleh membawa kepada Riddah.
Hanafiah berpendapat: Haid hanya menghalang dari sah
bersuci tetapi tidak mengharamkannya. Bahkan disunatkan bagi wanita di dalam
keadaan Haid berwuduk setiap kali solat dan duduk di tempat solatnya untuk
bertasbih dan tahlil sekadar waktu solat dilaksanakan. Perbuatan ini dilakukan
supaya dia tidak melupakan adat kebiasaannya.
DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM
Kurang pasti apa
yang cuba dimaksudkan oleh penanya berkenaan “perkara ini”. Adakah perkara ini
yang dimaksudkan berwuduk ketika haid atau berwuduk dengan tujuan meniru sunah
nabi. Sekadar beberapa prinsip dengan Non Muslim apabila kita ingin
membicarakan soal ibadat;
1) Perkenalkan kedudukan hamba
dibandingkan tuan pada hak dan tuntutan. Semua hamba wajib mentaati perintah
tuannya.
2) Zahirkan hikmah dan logik yang
ada pada sesuatu perintah yang dituntut oleh syarak.
3) Pamerkan Islam merupakan agama
yang suci dan bersih. Setiap menitik beratkan kebersihan pada semua keadaan.
Walaupun wuduk wanita haid tidak sah akan tetapi sikap meninggalkan perbuatan
tersebut juga merupakan pahala kerana mentaati perintah Allah.
KESIMPULAN
1) Khilaf di antara Ulama sama
ada membenarkan berwuduk atau tidak, bergantung pada niat individu yang
melakukannya.
2) Diharamkan wanita yang
didatangi Haid/Nifas berwuduk jika bertujuan untuk mengangkat hadas dalam
keadaan dia mengetahui tidak sah wuduknya, ini kerana dia bermain-main dengan
hukum.
3) Jika tujuan berwuduk atau
mandi junub dengan tujuan membersihkan diri atau menyejukkan badan atau apa-apa
saja niat yang tidak melanggar syarie, maka tidak menjadi masalah. Ini pendapat
yang dipegang oleh Auzaie, Malik, Thauri dan Abu Thaur.
4) Wajar mempertahankan pendapat
salaf soleh agar berterusan dengan mengambil waktu solat tersebut dengan
berwuduk dan berzikir agar kebiasaan itu tidak dilupakan.
5) Para wanita banyak yang
dirasuk jin dan menjadi lemah kerana mengabaikan ibadat di waktu uzur. Keuzuran
bukan alasan untuk meninggalkan semua ibadat kerana meninggalkan solat pada
waktu uzur juga merupakan satu ibadat. Perbanyakan zikir dan wirid pada waktu
uzur sebagai menampung kekurangan ibadat di waktu ini.
6) Tidak menjadi kesalahan untuk
berwuduk sebelum tidur atau pada ketika marah walaupun dalam keadaan uzur.
Hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Aisyah;
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ وَهُوَ جُنُبٌ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ
لِلصَّلَاةِ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ
Maksudnya: Baginda Nabi apabila ingin tidur di dalam
keadaan beliau berjunub, baginda akan berwuduk seperti hendak melaksanakan
solat sebelum masuk tidur.
7)
Berbicara dengan Non Muslim dengan logik dan menzahirkan hikmah perintah Allah
disyariakan.
Allahu A’lam
Disediakan:
Muhammad Aidil Azwal Bin Zainudin