Thursday 9th of September 2010 | Khamis 31 Ramadhan 1431 Katanama: Katalaluan: [Lupa Katalaluan]
Papar Artikel
Kursus Bina Insan Mahasiswa/wi Kedah Mesir
Dikirimkan pada 2010-03-30 23:24:32

30 Mac 2010,Selasa - Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Ust Haji Azizan bin Haji Razak sering menaruh harapan yang tinggi kepada para mahasiswa dan mahasiswi keluaran pusat pengajian di kawasan Timur Tengah. "Integriti Sebagai Budaya". Begitulah tema sebuah kursus yang telah diadakan oleh kerajaan negeri Kedah kepada sebahagian mahasiswa dan mahasiswi Kedah di Republik Arab Mesir. Program yang dinamakan sebagai Program Bina Insan Untuk Pelajar-pelajar Kedah di Republik Arab Mesir merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah Darul Aman di bawah kelolaan Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED) dan Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) dengan kerjasama Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah (PHEPKTT) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) telah diadakan selama tiga hari bermula pada 25 - 27 Mac 2010 bertempat di Hotel Cairo Khan,Tahrir. Sebanyak tujuh kertas kerja telah dibentangkan oleh ahli rombongan antaranya Tuan Haji Bukhari bin Abdullah (Pengurus Besar INSPIN),YBhg. Dato' Haji Khazali bin Haji Din (Datuk Bandar MBSA),Tuan Haji Mat Noh bin Ahmad (Pegawai Daerah Sik),YBhg. Dato' Syeikh Uzir bin Haji Baharom (YDP MAIK),dan YBhg. Dato' Andika Raja Dato' Wira Haji Mohd Zain bin Osman (Pengerusi SPA Kedah). Turut bersama di dalam kursus tersebut ialah Tuan Haji Mohd Zuhdi bin Haji Saad (Pengurus Besar YIKED) dan Tuan Haji Harun bin Mat Isa (Pengurus Program Integriti INSPIN) sebagai pemerhati dan pemudah cara semasa slot bengkel dan pembentangan berkumpulan diadakan.

Seramai 47 peserta telah mengikuti kursus tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir meliputi Kaherah dan cawangan-cawangan Al-Azhar yang lain. Perjalanan kursus berjalan dengan lancar dan para peserta dapat mengikuti setiap slot yang dibentangkan serta diberi peluang untuk membentangkan hasil kerja berkumpulan dalam bentuk power point. Pihak pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah beserta para peserta kursus mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah,YIKED dan INSPIN di atas penganjuran kursus Program Bina Insan Untuk Pelajar-pelajar Kedah di Republik Arab Mesir dan berharap program yang sedemikian rupa ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi merealisasikan wawasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

 

Disediakan oleh,

Setiausaha Agung

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah

Sesi 2009/2010


(c) Hakcipta Terpelihara Majlis Kebajikan Keluarga Kedah 2010