Sebahagian ahli Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) telah meminta kepada pihak kepimpinan MKKK untuk menjelaskan berkenaan status kerjasama di antara MKKK dan Gerakan Suara Rakyat.
MKKK adalah merupakan persatuan pelajar yang bertujuan menjaga kebajikan para pelajar khususnya yang berasal daripada negeri Kedah Darul Aman. Jika kita melihat kepada undang-undang dasar MKKK di dalam Bab Kedua , Fasal Dasar dan Tujuan , Ceraian (b) telah disebutkan dengan jelas bahawa di antara tujuan penubuhan MKKK ialah :
- Berusaha menyatukan Mahasiswa Islam Kedah ke arah perpaduan di dalam perkara-perkara kebajikan
- Berusaha mengatasi kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh ahli
- Berusaha membentuk dan meningkatkan kesedaran ahli dalam pelbagai bidang
- Memberi kerjasama kepada PMRAM di atas sifatnya sebagai persatuan induk dan penaung.
Maka berdasarkan tujuan penubuhan tersebut, pihak kepimpinan MKKK menyokong mana-mana pihak yang mempunyai ciri-ciri membentuk perpaduan serta meningkatkan kesedaran kepada ahli di dalam apa jua lapangan selagimana tidak melibatkan mana-mana fahaman bersentimenkan politik kepartian serta mempunyai ciri-ciri membawa perpecahan . Oleh kerana itulah, pihak MKKK menentang sekeras-kerasnya penglibatan ahli di dalam Kelab UMNO Mesir dan ISMA Mesir kerana ianya bertentangan dengan undang-undang dasar MKKK pada Bab Ketiga, Fasal 3 ( Hak-Hak dan Kewajipan ) , Ceraian (d) dan (e) yang berbunyi :
- Setiap ahli tidak dibenarkan melibatkan diri dengan mana-mana pertubuhan politik di Republik Arab Mesir (RAM) secara keanggotaan
- Setiap ahli tidak dibenarkan melibatkan diri dengan mana-mana pertubuhan yang bertentangan dengan dasar MKKK
Jika melihat kepada tujuan penubuhan serta objektif utama penubuhan Gerakan Suara Rakyat , secara umumnya pihak kepimpinan MKKK berpandangan bahawa penubuhan Gerakan Suara Rakyat tidaklah menjadi sebarang permasalahan. Ini kerana pertubuhan ini bukanlah sebuah pertubuhan bersifat politik kepartian. Cuma setakat ini, MKKK dan Gerakan Suara Rakyat tidaklah menjalinkan sebarang kerjasama secara rasmi. Sebagai lanjutannya, sidang pembaca sekalian bolehlah melihat sendiri di laman rasmi milik Gerakan Suara Rakyat.
Pihak kepimpinan MKKK sekali lagi menyatakan bahawa kita tidak mempunyai sebarang permasalahan dengan kewujudan Gerakan Suara Rakyat malah menyokong tindakan mereka selagi tidak bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma pihak kepimpinan MKKK sesekali tidak akan bersetuju sekiranya Gerakan Suara Rakyat melencong daripada tujuan asal serta objektif utama penubuhan mereka serta melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dasar MKKK.
Semoga sidang pembaca serta ahli MKKK dapat membaca dengan teliti serta dapat menilai dengan baik. Pihak kepimpinan MKKK bersedia menerima sebarang cadangan dan komentar yang membina daripada semua ahli. Wallahu a’lam.
Gerakan Suara Rakyat (SUARA)
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Pemangku Yang Dipertua,
Majlis Kebajikan Keluarga Kedah ( MKKK ) sesi 2009/2010.